Tokoh agama minta Nik Aziz buang ego




PENGKALAN KUBOR 2 Ogos - Dua tokoh agama di negeri ini mendesak Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya membuang ego dan dendam untuk menyatukan UMNO dan Pas demi perpaduan umat Islam dan orang Melayu di negara ini.




Mudir Pondok Pak Krau, Mohamad Zainal Abidin Awang dan Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah yang juga ahli Pas berpendapat, tiada sebab untuk Menteri Besar itu terus menghalang perpaduan antara kedua-dua parti berkenaan ketika umat Islam diancam daripada pelbagai sudut.



Mohamad Zainal Abidin berkata, usaha untuk menyatukan kedua-dua parti tersebut di meja rundingan harus dilakukan secepat mungkin memandangkan kekuatan orang Melayu hampir pupus berdasarkan senario politik masa kini.



Beliau berkata, Nik Abdul Aziz wajib menerima perpaduan dengan UMNO kerana parti tersebut sentiasa mendukung Islam dan tidak pernah menghalang perkembangan agama suci itu, malah menggalakkan rakyat di negara ini mengamalkannya.



"Kenapa Pas tidak boleh bersatu dengan UMNO, atas alasan apa? Jika dibandingkan UMNO dengan Pas, UMNO lebih banyak membangunkan Islam, lihat sahaja di negeri ini, siapa yang buat masjid, sekolah, hospital dan jalan raya.



"Kita kena betulkan persepsi, Pas bukan Islam, Islam bukan Pas. Kalau mereka benar-benar mendokong Islam, Nik Abdul Aziz perlu menyokong usaha perpaduan dengan UMNO tidak kira apa cara sekali pun," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.



Sebelum ini, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan mencadangkan supaya Pas dan UMNO melupakan persengketaan melalui satu pelan damai demi perpaduan umat Islam di negara ini.



Bagaimanapun, Nik Abdul Aziz dalam reaksinya menolak cadangan tersebut dengan memberikan alasan perbezaan dasar di antara kedua-dua parti itu tetapi pada masa yang sama mempertahankan kerjasama Pas dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) biar pun berbeza cita-cita.



Mohamad Zainal Abidin berkata, pada masa ini tidak timbul mengenai dasar UMNO atau Pas kerana agenda yang lebih penting ialah penyatuan umat Islam dan orang Melayu.



"Kita lihat di akhbar dan televisyen setiap hari ada tuntutan untuk menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu. Kita harus sedar bahawa umat Islam sedang diancam, hanya perpaduan dapat menyelamatkan kita daripada terus ditekan oleh musuh Islam," katanya.



Abdullah pula berkata, mengikut hukum Islam, menolak perpaduan seseorang itu boleh menjadi fasik kerana Allah dan Rasulullah mewajibkan umat Islam bersatu padu.



"Dalam konteks negara ini, perpaduan terbahagi kepada tiga iaitu pertama, menzahirkan ketuanan dan keistimewaan Melayu; kedua, perpaduan semua kaum seperti konsep 1Malaysia dan ketiga, perpaduan kesamarataan.



"Perpaduan yang ketiga tidak boleh diterima kerana dalam Perlembagaan negara telah termaktub hak-hak keistimewaan orang Melayu hasil pengorbanan orang Melayu sebelum merdeka, jadi kita tidak boleh terikut-ikut cara DAP yang akan menghancurkan umat Islam dan Melayu.



"Oleh itu, saya menyeru kepada Nik Abdul Aziz dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya menerima perpaduan dengan UMNO demi umat Islam dan orang Melayu. Hari ini tiada lagi perbezaan dasar di antara Pas dengan UMNO," katanya.

UTUSAN MALAYSIA
 
Ulasan saya
 
Untuk makluman Ustaz Zainal Abidin adalah berasal dari Bachok.Beliau adalah antara orang yang terkemuka membawa masuk PAS ke Bachok satu ketika dahulu.Pelajar dari pondok Al Bakriah Pasir Tumboh dan kemudian dari itu beliau berhijrah untuk belajar di pondok Patani dan sekembalinya ke Malaysia beliau "berpondok" pula di pondok Yusufiah Gelang Mas, Pasir Mas.Kini beliau mengambil alih bekas tapak pondok yang telah diasaskan oleh Allahyarham Cik Rahim (alim muda juga bekas murid kepada TG Abdullah Saamah)di Pak Kerau.Berkemungkinan besar Ustaz Din mungkin akan memulai seisi ceramah bersama UMNO selepas ini.
 
Mereka berdua telah dipulaukan oleh sesetengah penduduk, bahkan sahabat saya, menantu kepada TG Abdullah Saamah disekat untuk mengajar disurau-surau sekitar kampung.Beliau yang juga imam muda di masjid As Somadi Geting tidak dibenarkan membaca khutbah jumaat dan tidak lagi menjadi imam solat kerana akan berlaku dua imam jika beliau mengimamkan solat.Lebih kurang sebulan yang lalu beliau telah ke MAIK untuk meletak jawatan  kerana tidak dapat menjalankan tugasnya sebagai imam muda. Ini adalah sebab tidak ada kerjasama dari sesetengah penduduk.
 
Seorang penduduk dikawasan tersebut mengistiharkan bahawa anak murid kepada TG Abdullah Saamah tidak dibenarkan menjawat apa-apa jawatan.Malah rakan saya yang telah menjadi imam terawih dimasjid tersebut selama tiga tahun juga tidak dibenarkan kerana beliau adalah bekas murid pondok TG Abdullah Saamah.Manakala rakan saya dipondok tersebut dikunci pintu surau ketika ia mahu memenuhi jemputan kuliah maghrib oleh penduduk setempat.
 
Inilah antara beberapa cebisan onak duri  yang terpaksa dilalui oleh mereka.Tidak dinamakan perjuangan jika tiada rintangan dan tiada ganjaran tanpa sedikit pengorbanan.Kesatuan ummah akan terus diperjuangkan.

2 comments:

Unknown said...

Semoga Allah Ta'ala jua memberi kekuatan kepada tuan-tuan sekalian dalam memerangi golongan yang lidah mereka sentiasa mentakfir saudara sesama islam, menjisimkan Tuhan, mencercakan Rasulullah saw, bertauhidkan tiga serangkai dan berfeqahkan syed sabiq

FALEH KHALIFAH SAKA

Hafiz Handasah said...

Qawakumullah,

Semoga Allah menambah limpah kurnianya keatas TG Abdullah Saamah, menantunya, anak muridnya dan semua ahli sunnah wal jamaah umumnya. Setiap dugaan yang diberikan Allah akan menambah lagi ketinggian darjat hamba disisiNya. Semoga Allah membantu perjuangan ustaz dengan keberkatan Saiyyidina Muhammad