Politik taksub Pas


MENYENTUH soal politik dan agama yang tidak dapat dipisahkan sememangnya benar wujud di zaman Rasulullah, itu pun politik yang bermaksud Daulah Islamiah atau "kerajaan Islam" kerana masjid dan institusi ibadat hanya dijadikan tempat untuk merujuk mengenai perkara berbangkit dalam soal akidah, fikah, tauhid , tauhid ubudiah dan lain-lain lagi sebagai mana jelas di dalam hadis yang Shahih al-Bukhari dan Muslim dan lain-lain lagi.

Apabila Jibrail bertanya kepada Rasulullah, apakah iman, Islam dan ihsan, lalu baginda menjawab (setelah Jibrail berlalu, ) kepada Saidina Umar " itulah Jibrail, dia mengajar kamu, agama kamu".

Bertitik tolak dengan sabda nabi itu, difahami di sini bahawasanya itulah hakikat agama yang tidak ada percanggahan dan perdebatan dan itulah yang diamalkan dari zaman sahabat hingga kini.

Ada pun politik kepartian seperti yang maklum pada hari ini tidak ada hubung kait dengan agama sedikit pun, kalimah siasah yang diterjemahkan dengan politik adalah tidak tepat dan amat kabur, apatah lagi kalimah siasah tidak wujud di zaman nabi dan hanya wujud ketika zaman khalifah-khalifah Islam sahaja.

Dalam Islam, hakikat politik ialah melaksanakan hukum Islam dan kebiasaannya adalah pekerjaan kadi-kadi atau pemerintah Islam atau Amirul Mukminin, bukan pekerjaan rakyat jelata

Inilah yang perlu difahami oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan penyokong parti itu. Menyentuh isu mengenai larangan berpolitik dalam masjid yang dititahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada pandangan saya apa yang dititahkan oleh sultan itu benar dan tidak lari daripada kehendak agama.

Ini kerana pada pandangan baginda larangan berpolitik di dalam masjid ini tentunya terarah kepada Pas dan Pakatan Pembangkang yang cuba mengambil kesempatan dengan menjadikan masjid sebagai tempat untuk memecah belahkan umat manusia.

Apatah lagi politik yang dibawa oleh Pakatan Pembangkang amat bercelaru dan bertentangan dengan Islam serta bercanggah dengan pandangan pimpinan Pas suatu ketika dulu.

Saya malu dan berdukacita sekiranya orang Pas menyokong apa yang ditegaskan oleh Nik Aziz berhubung politik dan agama tidak dapat dipisahkan.

Saya maklumkan di sini, politik yang dibawa oleh Pas masa kini dengan menjadikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sebagai rakan jauh tersasar dengan kehendak Islam sebenar.

Suatu perbezaan yang amat besar politik di zaman Rasulullah, dengan politik kepartian yang ada pada hari ini adalah politik kepartian yang ada pada hari ini adalah peninggalan penjajah yang di dalamnya mempunyai seribu satu unsur yang bertentangan dengan Islam, seperti fitnah memfitnah, tuduh menuduh, membuka aib sesama sendiri dan jatuh menjatuh.

Matlamat

Ini kerana matlamat dalam Pakatan Pembangkang adalah untuk mengangkat Lim Kit Siang sebagai ketua negara.

Ini boleh dirujuk petikan kata-kata Nik Aziz dalam Utusan Malaysia pada 6 November 1999 yang menyebut "Pas boleh terima pemimpin DAP menjadi Perdana Menteri, tidak ada apa, asalkan dia terima syarat yang ditetapkan oleh Barisan Alternatif".

Pada pandangan saya, tokoh yang disanjung dan cuba diangkat oleh Pas dan Nik Aziz ini merupakan orang yang fasik dan kafir yang cuba membawa kemusnahan kepada negara Malaysia

Jika ini berlaku ia amat bertentangan dengan fatwa Dewan Ulama Pas Kelantan pada Ogos 1963, orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir memerintah negara menjadi kafir atau haram. Fatwa tersebut menjadi pegangan orang Pas suatu ketika dulu, namun adakah kini fatwa ini tidak lagi dijadikan pegangan ahli dan pemimpin Pas.

Sekiranya ahli Pas menggambarkan bahawa politik dan agama yang cuba dibawa oleh Nik Aziz adalah politik semasa zaman Rasullullah, maka sudah tentu mereka tertipu dan terpedaya dengan kata-kata dan hujah Nik Aziz.

Perlu dibezakan di sini bahawa cara berpolitik di zaman nabi adalah jauh berbeza umpama langit dan bumi jika dibandingkan cara berpolitik zaman sekarang. Seperti yang saya katakan tadi, cara berpolitik zaman Rasullullah adalah politik mengajak manusia ke arah ketakwaan kepada Allah dan bukannya mengajak manusia menyokong si A dan membenci si B atau menuduh orang itu tidak betul dan saya yang betul atau sebagainya, kemudiannya segala hujah agama yang dikeluarkan oleh parti politik ini kebanyakannya cenderung untuk kepentingan politik masing-masing.

Saya tanya di sini sepanjang Nik Aziz menggunakan masjid di Kelantan untuk menyampaikan tazkirahnya sudah berapa ramai umat manusia benar-benar bertakwa dan mencari keredaan Allah atau hanya mencari keredaan politik masing-masing.

Politik yang dikatakan tidak dapat dipisahkan dengan agama mengikut fahaman Nik Aziz adalah sebagai menghalalkan perbuatan fasiknya dengan menjadikan DAP sebagai rakan seangkatannya .

Justeru itu, sekiranya Nik Aziz menghamburkan kata-kata 'celako' (celaka) kepada tok guru seperti saya maka saya tersenyum dan merasa kasihan melihat kebatilan yang dibawa oleh Nik Aziz.

Sebagai seorang yang layak mengajar dan ditauliahkan oleh baginda sultan dan Majlis Agama Islam Kelantan dan bukannya tauliah halaqat kerajaan Pas, saya tegaskan di sini bahawa Nik Aziz telah membawa kebatilan dengan menipu umat Islam Pas dengan dakwaan bahawa agama dan politik tidak dapat dipisahkan.

Ini kerana politik Nik Aziz dan Pas masa kini jauh tersasar dari landasan Islam dan kehendak Nabi Muhammad SAW.

Berbalik pula pada kata-kata Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang menghina saya dengan menyamakan dengan unta, sewaktu memberi ceramah di Kampung Belukar, Kubang Batang, Tumpat pada 1 Mei lalu.

Saya tidak ingin menjawab panjang cercaan sebaliknya ingin saya katakan bahawa unta di padang pasir itu tidak pandai baca kitab, tidak pandai mengajar bahkan tidak pernah belajar, itulah bezanya saya dengan unta di tanah Arab.

Kesimpulannya perlu umum mengetahui terutama ahli Pas bahawa politik dan agama yang Nik Aziz katakan tidak boleh dipisahkan itu sebenarnya boleh dipisahkan kerana Pas mengamalkan politik kepartian yang mengapi-apikan unsur asabiah dan taksub kepada pemimpin dan parti mereka itu.

Ini amat bertentangan dengan Islam yang mana dalam Islam, tiada taksub kepada pemimpin dan di dalam Islam garis panduan utamanya ialah al-Quran dan hadis serta mana-mana pandangan yang bertentangan dengannya adalah terbatal dengan sendirinya.


OLEH HAJI ABDULLAH SA'AMAH

Pengasas Pondok An Najmiah

MINGGUAN MALAYSIA

No comments: